Mutawalli

post-image

Harta wakaf perlu dipelihara, dijaga dan dimajukan supaya manfaatnya dapat dimaksimumkan, dikekalkan dan memenuhi keperluan penerima. Harta wakaf telah memberi impak yang besar dalam pembangunan ummah dalam setiap aspek, sama ada daripada sudut sosial, ekonomi, politik dan perundangan (Che Zuina, Al-Mutawalli Dalam Pengurusan Harta Wakaf Dan Amalan Di Malaysia Menurut Perundangan Islam, 2010).

Di Malaysia, harta wakaf adalah salah satu daripada harta amanah yang disenaraikan di bawah Jadual Sembilan, Senarai II, Senarai Negeri. Perkara berkaitan wakaf telah diperuntukkan di dalam enakmen negeri masing-masing (Artikel 74 (1)(2), Perlembagaan Persekutuan). Semua tanah wakaf ditadbir dan diuruskan oleh MAIN (Majlis Agama Islam Negeri-negeri) sama ada harta alih dan tak alih (Baharuddin Sayin, Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Semenanjung Malaysia,1998).

Islam telah menetapkan bahawa harta wakaf mestilah ditadbir urus oleh pihak yang berkemampuan dan bertanggungjawab bagi memelihara kemaslahatan harta wakaf agar manfaatnya dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar berhak menerimanya (al-Khinn, al-Bugho & al-Syarbaji, Fiqh al-Manhaji `ala Mazhab al-Imam Syafi`i, 1992). Dalam Islam, pihak yang dilantik untuk mentadbir harta wakaf dikenali sebagai “Mutawalli” (Al-Baghdadi, Majma’ al-Damanat fi Madzhab al-Imam al-A’zam Abi Hanifah al-Nu’man, 1999). Mutawalli merupakan orang perorangan atau badan yang mempunyai kemampuan, kelayakan, amanah dan berupaya melaksanakan hajat serta amanah pewakaf (Al-Haskafi, Syarh al-Durr al-Mukhtar, t.t).

Tanggungjawab utama Mutawalli adalah menjaga, memelihara serta membangunkan harta wakaf, mengutip hasil wakaf dan seterusnya mengagihkan kepada penerima yang berhak sebagaimana yang disyaratkan oleh pewakaf (Al-Nawawi, Rawdhah al-Talibin, 2000; Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 1994; Al-Bahuti, Kasyyaf al-Qinna’, t.t.; Al-Bajirmi, Hasyiyyah al-Bajirmi, 2000; Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 1967).

Mutawalli boleh dilantik oleh pewakaf sendiri ataupun oleh pihak berkuasa. Pewakaf juga boleh menjadi pentadbir bagi harta yang diwakafkan olehnya ataupun melantik mana-mana pihak untuk menguruskan wakafnya termasuk penerima manfaat wakaf itu sendiri. Jika pewakaf mensyaratkan Mutawalli itu dipegang olehnya sendiri dan keluarganya ataupun pihak yang lain, maka lantikan tersebut hendaklah diikuti (Al-Syarbini, t.t). Sekiranya pewakaf tidak mensyaratkan pengawasannya kepada mana-mana orang, maka Qadhi atau Ulil Amri bertanggungjawab dalam semua perkara termasuk dalam mengawasi harta wakaf (Abu Zuhrah, Muhadarat fi al-Waqf, 1959).

Mutawalli juga boleh diberi upah kerana memelihara harta wakaf atau mengagihkan manfaatnya. Tindakan memberikan ganjaran kepada Mutawalli telah dilakukan oleh Saidina Umar Ibn al-Khattab RA sebagaimana katanya yang bermaksud, “tidak mengapa bagi orang yang mengawasinya untuk makan hasilnya dengan kadarnya”. Umumnya, Islam tidak meletakkan dan menetapkan secara spesifik amaun atau jumlah upah yang dibenarkan kepada Mutawalli dalam mentadbir dan menguruskan harta wakaf.

Fuqaha telah bersetuju bahawa pewakaf berhak dalam menentukan kadar jumlah dan amaun yang akan diberikan sebagai upah kepada Mutawalli ketika menguruskan harta wakaf tersebut (Abu Zuhrah, 1959).