Latar Belakang

post-image

WAQAF FELDA telah dilancarkan pada tanggal 12 November 2021 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia ke-9, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, ia terus mengorak langkah menjadi sebahagian inisiatif mewujudkan Ummatic Economy yang bergerak sebagai kuasa ekonomi ketiga (third economy force) untuk membantu merancak serta memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik. Konsep kebersamaan sebagai satu ummah ini diyakini akan dapat menangani pelbagai isu serta cabaran ekonomi negara.

WAQAF FELDA diasaskan oleh FELDA bagi melaksanakan aktiviti wakaf berkonsepkan Waqaf KorporatTM. WAQAF FELDA adalah sebuah entiti korporat yang berperanan untuk mengagihkan manfaat wakaf yang dijana menerusi pendapatan dan keuntungan daripada pelbagai aktiviti peniagaan dan pelaburan, disamping memelihara dan mengembangkan dana wakaf terkumpul. Manfaat yang diagihkan, dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan geografi, agama dan bangsa. Sebagai permulaan, FELDA telah memperuntukan RM1 Juta bagi menampung kos operasi WAQAF FELDA sepanjang tahun 2021 dan 2022.

Konsep pelaksanaan Waqaf KorporatTM ini mampu mewujudkan ekosistem yang akan berupaya memacu ekonomi Malaysia dengan menyediakan peluang perniagaan bagi Industri  Kecil dan Sederhana (IKS) serta seterusnya membuka peluang pekerjaan dan sekaligus mengubah lanskap ekonomi negara. Konsep Waqaf KorporatTM ini juga mampu menjadi instrumen membentuk model perniagaan yang lebih mampan bagi WAQAF FELDA lantas dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan menerusi keuntungan yang diperolehi. Kami juga percaya budaya bersedekah dan berwakaf telah mula meresap dan mula diterima sebagai budaya yang baik dalam kalangan warga FELDA khususnya. Mudah-mudahan budaya ini akan berterusan menjemput keberkatan untuk kejayaan di dunia dan akhirat.

Bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan di WAQAF FELDA, Lembaga Pengarah telah mewujudkan beberapa Jawatankuasa yang penting seperti Jawatankuasa Syariah dan Jawatankuasa Pelaburan. Jawatankuasa Syariah berperanan untuk menasihati Lembaga Pengarah dan menyemak operasi serta pentadbiran syarikat. Jawatankuasa Pelaburan pula berperanan untuk menasihati Lembaga Pengarah berhubung perniagaan dan pelaburan dana wakaf agar keuntungan dapat dimaksimakan untuk dijadikan manfaat yang dapat diagihkan secara berterusan.

Pengurusan yang cekap dan efisien ke atas harta wakaf ini mampu menjana pendapatan yang tinggi untuk pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat di Malaysia.