Demi anak-anak gempa Turkiye dan Syria yang kesejukan

post-image
Kuala Lumpur - Warga FELDA yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuklah Petugas, Warga Peneroka, Generasi Baharu dan Masjid-masjid FELDA turut bersimpati buat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
 
"Cubit paha kiri, paha kanan yang terasa sakitnya", begitulah ekspresi bagi menggambarkan situasi yang menimpa penduduk di Turkiye dan Syria khususnya terhadap anak-anak dan bayi yang menggigil kedinginan kerana ketiadaan kediaman untuk bernaung dan ibu bapa untuk didakap.
 
Justeru, PKKF (Persatuan Kakitangan Kanan FELDA) dan KPPF (Kesatuan Pekerja-pekerja FELDA) telah menyerahkan wang kutipan berjumlah RM73,036.65 untuk sumbangan gempa dan telah diserahkan kepada WAQAF FELDA pada 1 Mac 2023 yang lepas.
 
"Sumbangan ini daripada Warga FELDA keseluruhannya, mudah-mudahan sedikit sebanyak dapatlah membantu saudara kita yang ditimpa bencana di sana", kata Encik Zool Hilmi Zahini Haron selaku ketua delegasi penyerahan wang sumbangan merangkap Presiden PKKF.
 
Kita sedar bahawa wang sumbangan ini tidak mampu untuk mengembalikan ibu bapa mereka yang telah pergi, tetapi sekurangnya berupaya untuk menukarkan tangisan mereka kepada senyuman.